
Welcome Note
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya berbesar hati mengalu-alukan kehadiran para pengunjung ke Laman Sesawang Pejabat Penolong Naib Canselor (Strategik & Kelestarian Global), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Seiring dengan perkembangan UTeM sebagai universiti teknikal terunggul negara, aspek perancangan strategik dan kelestarian global merupakan elemen penting dalam memastikan hala tuju universiti sentiasa relevan, berdaya saing dan mampan. Pejabat Penolong Naib Canselor (Strategik & Kelestarian Global) berperanan sebagai peneraju dalam merangka, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda strategik universiti serta memperkukuh jaringan kerjasama global demi memperkasa kedudukan UTeM di peringkat nasional dan antarabangsa.
Dalam mendepani cabaran landskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik, UTeM komited untuk terus memperkukuh strategi pembangunan institusi melalui pendekatan inovatif, berorientasikan impak serta berpaksikan kelestarian. Penekanan terhadap prinsip kelestarian bukan sahaja menyokong aspirasi universiti dalam pembangunan teknologi dan TVET, malah turut mendokong agenda global seperti Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs) yang menjadi teras kepada kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.
Laman sesawang ini dibangunkan sebagai medium rasmi bagi menyediakan maklumat berkaitan perancangan strategik universiti, inisiatif kelestarian, kerjasama antarabangsa, serta pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan oleh pejabat ini. Diharapkan platform ini dapat menjadi rujukan utama kepada seluruh warga universiti dan masyarakat luar dalam mendapatkan maklumat yang tepat, cepat dan terkini.
Akhir kata, saya berharap laman sesawang Pejabat Penolong Naib Canselor (Strategik & Kelestarian Global) ini akan terus menjadi saluran komunikasi yang efektif serta menyokong usaha memperkukuh imej UTeM sebagai universiti teknikal yang sentiasa merintis, sentiasa menerajui di peringkat global.
Sekian, terima kasih dan Selamat Maju Jaya.
Salam hormat,
Profesor Madya Ts. Dr. Musthafah bin Mohd Tahir
Penolong Naib Canselor (Strategik, Kelestarian & Global)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka
